Hampir sejam tolak perahu akibat muara cetek

KOTA KINABALU: Hampir sejam terpaksa menolak perahu setiap kali air surut. Itu antara kesukaran dialami lebih 60 nelayan pesisir pantai akibat muara Sungai Likas yang semakin cetek.

Masalah berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan nelayan di Kampung Bangka-Bangka, Kampung Likas, Rampayan, Kalansanan dan Darau sukar keluar ke laut serta pulang membawa hasil tangkapan.

Wakil nelayan, Awang Mini Madasin berkata, keadaan paling mencabar berlaku ketika air surut apabila perahu tidak dapat melalui laluan cetek seperti biasa.

“Ketika muara surut atau cetek, masalah ini sangat menghantui nelayan kecil untuk keluar atau balik ke jeti berhampiran.

“Kami mengambil masa sehingga hampir sejam, malah terpaksa menolak perahu lebih jauh sehingga menjejaskan aktiviti seharian,” katanya kepada Sabah News Today.

Menurut Awang Mini, masalah itu sudah lama dilaporkan kepada pihak berkaitan, namun nelayan masih menunggu tindakan penyelesaian.

Katanya, kelewatan keluar dan pulang dari laut memberi kesan kepada nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan harian.

Seorang lagi nelayan, Abd Sani Imbrani berkata, mereka turut berdepan masalah sama di laluan laut berhampiran Menara Kinabalu sebelum memasuki muara Sungai Likas.

“Laluan masuk sangat kecil dan cetek sehingga menyukarkan kami menggerakkan perahu.

“Ada masanya kami terpaksa meninggalkan perahu sementara di kawasan berhampiran dan menunggu air pasang sebelum dapat meneruskan perjalanan,” katanya.

Abd Sani berkata, kerja mendalamkan laluan muara amat diperlukan bagi memudahkan pergerakan nelayan.

Menurutnya, pembeli sudah tersedia untuk mendapatkan hasil tangkapan mereka, namun masalah laluan cetek terus mengganggu aktiviti mencari rezeki.

Sementara itu, ADUN Darau, Azhar Matussin, turut membangkitkan masalah muara Sungai Likas dalam persidangan DUN Sabah kerana isu berkenaan menjejaskan komuniti nelayan pesisir pantai.

Nelayan berharap tindakan segera dapat diambil supaya mereka tidak lagi terpaksa bergelut dengan keadaan muara yang cetek setiap kali keluar mencari rezeki.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan