Karnival HPM Sabah jana jualan RM433,500, tarik lebih 52,000 pengunjung
KOTA KINABALU: Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 mencatatkan jualan sebanyak RM433,500 dan menarik kehadiran 52,240 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya yang berakhir pada 25 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu mengatasi sasaran awal 50,000 pengunjung dengan kadar pencapaian sebanyak 104.5 peratus.
Menurutnya, jumlah jualan yang direkodkan turut melepasi sasaran asal RM300,000, sekali gus mencapai 144.5 peratus daripada sasaran ditetapkan.
“Lebih membanggakan, potensi padanan perniagaan (business matching) turut mencatatkan nilai sebanyak RM1.129 juta, melepasi sasaran awal RM1 juta,” katanya.
Mohamad berkata, pencapaian berkenaan memperlihatkan sambutan masyarakat terhadap produk dan perkhidmatan usahawan tempatan, khususnya dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran itu turut mencerminkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah, agensi kerajaan serta pemain industri dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri.
Katanya, sokongan Kerajaan Sabah terhadap usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik kejayaan penganjuran sesuatu program, sebaliknya mencerminkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan, kesungguhan usahawan mengembangkan perniagaan serta peluang pasaran yang semakin terbuka kepada PMKS di Sabah,” katanya.
Mohamad turut menegaskan bahawa manfaat penganjuran karnival itu perlu diteruskan selepas program berakhir, terutama dalam membantu usahawan meningkatkan jualan, memperluas jaringan perniagaan dan membangunkan perusahaan lebih mampan.
“Paling penting, kita mahu memastikan manfaat daripada penganjuran karnival seumpama ini tidak terhenti selepas program berakhir,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

