Kekalkan UiTM Tawau demi masa depan pendidikan Bumiputera
TAWAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa mengekalkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau bagi memastikan akses pendidikan tinggi masyarakat Bumiputera di Pantai Timur Sabah terus terpelihara.
Gesaan itu susulan dakwaan mengenai kemungkinan penutupan kampus berkenaan yang mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh Kian Leong berkata, UiTM Tawau yang beroperasi sejak 1996 memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pengajian kepada anak tempatan dari Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan kawasan sekitarnya.
Beliau berkata, penutupan kampus itu sekiranya dilaksanakan boleh menyebabkan pelajar terpaksa melanjutkan pengajian di luar daerah atau negeri, sekali gus meningkatkan kos yang perlu ditanggung keluarga.
“Golongan B40 khususnya memerlukan kemudahan pendidikan tinggi berhampiran tempat tinggal. Dengan adanya UiTM Tawau, anak-anak tempatan boleh menyambung pengajian tanpa perlu berjauhan daripada keluarga atau menanggung kos perjalanan dan sara hidup yang tinggi.
“Tambahan pula, harga tiket penerbangan ke Semenanjung Malaysia bukan murah dan keadaan itu pastinya menyukarkan keluarga kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan.
Tony turut mempersoalkan kemampuan kampus UiTM Sabah di Kota Kinabalu menampung pertambahan pelajar dari Pantai Timur sekiranya kampus Tawau ditutup, terutama dari segi kemudahan penginapan.
Sehubungan itu, beliau mahu KPT dan pengurusan UiTM memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh kemudahan pendidikan tinggi sedia ada, selain mempertimbangkan penubuhan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam di Pantai Timur Sabah.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Parti Warisan (WARISAN) Tawau, Mohd Shafiee Banjar berkata, sebarang keputusan membabitkan masa depan UiTM Tawau perlu mengambil kira kemampuan kewangan keluarga dan kepentingan pendidikan generasi muda.
Menurutnya, kampus berkenaan mempunyai peranan penting dalam memastikan pelajar Bumiputera tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian akibat faktor jarak dan kos sara hidup.
“Kementerian harus mengkaji semula cadangan penutupan kampus UiTM di Tawau. Kerajaan juga perlu mengambil kira semua sudut agar keputusan yang dibuat tidak mengecewakan rakyat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
“Jangan sampai anak-anak kita terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pengajian tinggi hanya kerana tidak mampu menanggung kos untuk belajar jauh dari Tawau.
“Pendidikan sepatutnya membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat dan bukannya menjadi beban kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berharap kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan pelajar dan masyarakat setempat akan menjadi pertimbangan utama dalam sebarang perancangan berkaitan kampus terbabit.
Setakat ini, dakwaan kemungkinan penutupan UiTM Tawau belum disahkan sebagai keputusan rasmi KPT atau pihak universiti.
— SABAH NEWS TODAY

