Hajiji mahu Pesta Kalimaran diperkasa, martabat budaya Murut

TENOM: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu penganjuran Pesta Kalimaran terus diperkasakan dengan penglibatan lebih ramai usahawan tempatan serta pemain industri pelancongan bagi merancakkan ekonomi masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, pesta kebudayaan itu perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Murut, selain membuka peluang perniagaan kepada pengusaha kecil, penggiat kraftangan, pengusaha makanan dan pengendali inap desa.

Menurutnya, usaha berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan setiap daerah di Sabah membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Kita mahu penglibatan lebih ramai pengusaha kecil, usahawan tempatan, penggiat kraftangan, pengusaha makanan, pengusaha inap desa serta pemain industri pelancongan.

“Pesta ini akan memperkukuh industri pelancongan budaya, di samping memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk tempatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, pada majlis perasmian Ilau Kalimaran (Pesta Kalimaran) di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Hajiji menyeru generasi muda, khususnya masyarakat Murut, supaya tidak melupakan warisan budaya dan adat resam yang menjadi identiti etnik berkenaan.

Katanya, budaya tradisional tidak seharusnya dianggap ketinggalan zaman, sebaliknya perlu dijadikan kekuatan untuk memperkenalkan keunikan Sabah ke peringkat antarabangsa melalui penggunaan teknologi digital dan media sosial.

“Dokumentasikan tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, cerita rakyat dan adat resam kita. Kita mahu melihat generasi muda menjadi duta budaya Sabah.

“Jika kita tidak mengambil langkah untuk memelihara budaya kita hari ini, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada identiti kita pada masa akan datang,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan generasi muda supaya menghayati semangat perjuangan pahlawan Murut, Datuk Seri Panglima Ontoros bin Endoi atau lebih dikenali sebagai Antanom, yang menjadi lambang keberanian, keteguhan pendirian dan semangat perjuangan masyarakat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, semangat Antanom bukan semata-mata mengenai keberanian berjuang, sebaliknya turut merangkumi nilai maruah, harga diri, kepimpinan, kesetiaan kepada tanah air dan kecintaan terhadap masyarakat.

“Saya mahu semangat Antanom terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah supaya mereka menjadi generasi yang menghargai tanah air, mengekalkan perpaduan, berani menghadapi cabaran, berilmu, berkemahiran, mempunyai jati diri dan sentiasa memberikan sumbangan kepada negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan khazanah kebudayaan semua etnik di Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan dipromosikan melalui usaha pemetaan budaya bagi manfaat generasi akan datang.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkasakan pembangunan Kemabong menerusi sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan, infrastruktur dan ekonomi setempat.

Menurutnya, penganjuran acara besar seperti Pesta Kalimaran mampu memperkenalkan Kemabong sebagai destinasi pelancongan kebudayaan yang mempunyai identiti tersendiri.

“Saya percaya dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan sokongan padu daripada rakyat, Kemabong akan terus berkembang dan menikmati limpahan pembangunan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak seluruh masyarakat menjadikan Pesta Kalimaran sebagai wadah memperkukuh persaudaraan, keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sabah.

“Janganlah kita membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan. Saya percaya, dengan perpaduan dan kestabilan, kita mampu meneruskan agenda pembangunan melalui Sabah Maju Jaya,” katanya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan