Guna maklumat 880 pekerja tanpa izin, pengarah klinik ditahan SPRM
LAHAD DATU: Tindakan seorang pengarah klinik swasta yang disyaki menggunakan maklumat 880 pekerja tanpa pengetahuan mereka bagi memohon dana Program Saringan Kesihatan bernilai kira-kira RM50,000 membawa padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam Ahad ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mengemukakan permohonan dana program berkenaan tanpa pengetahuan mereka.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan pada 2023 membabitkan Program Saringan Kesihatan anjuran sebuah badan berkanun.
Suspek disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan dana program terbabit yang bernilai kira-kira RM50,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dilepaskan selepas proses mengambil keterangan selesai.
— SABAH NEWS TODAY

