Helah tiket Toto menang, dua lelaki Indonesia dicekup polis

LAHAD DATU: Helah kononnya memiliki tiket Toto yang memenangi hadiah digunakan sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa sehingga sanggup menyerahkan wang tunai dan barang kemas sebagai jaminan.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila dua lelaki warga Indonesia yang disyaki terbabit dalam penipuan berkenaan berjaya ditahan polis di sekitar daerah ini.

Polis Daerah Lahad Datu menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengesahkan penahanan kedua-dua suspek susulan laporan seorang mangsa warga Indonesia.

Menurut polis, mangsa mendakwa diperdaya selepas diminta membantu menebus tiket Toto yang kononnya memenangi hadiah dengan syarat menyerahkan wang tunai atau barang kemas sebagai jaminan.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyasarkan wanita berusia dengan seorang daripada mereka terlebih dahulu mendekati mangsa dan berpura-pura seperti sudah mengenali individu berkenaan.

Suspek kemudian menunjukkan tiket Toto serta cek tunai yang disyaki palsu sebelum meminta bantuan mangsa untuk menebus hadiah kemenangan tersebut.

Mangsa seterusnya dibawa menaiki kereta menuju ke premis Toto, namun ketika dalam perjalanan, suspek meminta wang tunai dan barang kemas sebagai jaminan sebelum urusan penebusan dilakukan.

Sebaik mangsa diturunkan berhampiran premis berkenaan dan berjalan menuju ke kedai Toto, suspek dipercayai terus melarikan diri bersama wang serta barang kemas yang diserahkan.

Dalam perkembangan sama, polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Raswandi Armansyah yang turut menggunakan nama panggilan Roy, Salim atau Haji bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau Bahagian Risikan dan Operasi di 016-2575282.

Polis turut mengingatkan orang ramai, khususnya warga emas, supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran penebusan hadiah yang mensyaratkan penyerahan wang tunai atau barang kemas kepada individu tidak dikenali.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan