Jambatan Lawas sudah siap, jambatan Labuan bila lagi?

KOTA KINABALU: “Jambatan Lawas tidak pernah saya dengar, tiba-tiba diumum siap. Jambatan Labuan pula tiap kali pilihan raya umum (PRU) disebut, tapi sampai sekarang belum nampak bayang!”

Demikian antara luahan seorang pengguna media sosial yang mempersoalkan nasib cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah selepas tular rakaman Jambatan Lawas di Sarawak.

Perbandingan itu tercetus susulan perkongsian video di Threads oleh pengguna akaun @wweyo90 yang memaparkan sebuah jambatan dengan gerbang besar bertulis ‘Selamat Datang ke Lawas’ serta laluan berturap yang kelihatan sudah siap.

Video berkenaan menarik perhatian pengguna media sosial dengan mencatatkan 804 tanda suka, 33 komen dan 119 perkongsian semula berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan.

Namun, di sebalik perkongsian itu, pengguna Threads @jefs_jr tampil dengan sindiran tajam mengenai cadangan pembinaan jambatan Labuan yang sudah sekian lama menjadi perhatian penduduk.

“Jambatan LAWAS tidak pernah saya dengar, tiba-tiba diumum SIAP, sementara jambatan LABUAN tiap PRU saya dengar tapi tidak pernah wujud apa lagi diumum SIAP..!! Luar binasa!” tulisnya.

Luahan berkenaan sekali gus membangkitkan kembali persoalan mengenai masa depan cadangan jambatan Labuan yang sering dikaitkan dengan usaha memperkukuh hubungan pengangkutan antara pulau bebas cukai itu dengan tanah besar Sabah.

Bagi penduduk Labuan, pembinaan jambatan berkenaan dilihat berpotensi memudahkan pergerakan harian, mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pelaburan.

Perbandingan antara kedua-dua projek itu turut mencerminkan harapan masyarakat agar cadangan pembangunan infrastruktur yang telah lama diperkatakan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar.

Bagaimanapun, status rasmi Jambatan Lawas yang dipaparkan dalam video serta perkembangan terkini cadangan jambatan Labuan masih memerlukan pengesahan pihak berkuasa berkaitan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan