Labuan berpotensi muncul hab sukan permotoran Borneo

LABUAN: Pengerusi Penasihat GIATMARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan menyuarakan hasrat untuk menjadikan Labuan sebagai hab sukan permotoran di rantau Borneo menerusi penganjuran kejohanan bertaraf serantau dan pembangunan kemudahan sukan yang lebih sistematik.

Beliau merupakan Ketua Bahagian UMNO Labuan yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam penganjuran sukan permotoran berkata, potensi itu dapat dilihat menerusi sambutan menggalakkan terhadap program Test & Tune Labuan Motorsport 2026 yang berlangsung di Kompleks Halal Hub Labuan, Kiansam.

Menurutnya, program julung kali itu menarik penyertaan lebih 80 kenderaan dari Sabah, lebih 30 dari Sarawak, lebih 10 dari Brunei Darussalam dan lapan dari Semenanjung Malaysia.

“Selepas 20 tahun terlibat dalam pelbagai penganjuran sukan permotoran, saya mahu melihat Labuan menjadi hab sukan permotoran di rantau Borneo.

“Penganjuran seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada peminat sukan permotoran, malah memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha penginapan, makanan dan perkhidmatan tempatan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Pada majlis itu, Mohd Rafi turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada pihak penganjur sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan sukan permotoran di Labuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa supaya cadangan pembinaan litar drag di Labuan diberi pertimbangan semula bagi menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan yang selamat kepada golongan muda.

Menurutnya, projek berkenaan pernah mendapat kelulusan pada 2016 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun dibatalkan pada 2018 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperjuangkan semula peruntukan pembinaan litar itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya diberi peluang.

“Saya mahu anak-anak muda Labuan suatu hari nanti dapat turun ke litar sendiri dan berbangga menjadi tuan rumah kepada peserta dari seluruh Borneo,” katanya.

Mohd Rafi berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten bagi melahirkan bakat baharu serta memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi sukan permotoran serantau.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan