Sabah kekal had umur belia 40 tahun, MBS sambut baik keputusan Kabinet
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyambut baik keputusan Kabinet negeri mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun, sekali gus memastikan golongan berusia 31 hingga 40 tahun tidak tercicir daripada program pembangunan belia di Sabah.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata keputusan itu mengambil kira realiti demografi dan cabaran geografi Sabah yang berbeza, khususnya membabitkan penyertaan golongan muda di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, pengekalan had umur berkenaan memberi ruang kepada lebih ramai belia untuk terus mendapat manfaat daripada program pembangunan, latihan kepimpinan dan peluang memperkasakan potensi diri.
“MBS menyambut baik pengumuman Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) mengenai keputusan Kabinet kerajaan negeri mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun.
“Perkembangan ini bakal mengelakkan anak muda berusia 31 hingga 40 tahun di Sabah tercicir daripada program pembangunan belia berdasarkan cabaran demografi dan geografi yang sedang kita hadapi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abqaree berkata, MBS akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya KBSK, bagi memastikan keputusan berkenaan diterjemahkan dalam kerangka perundangan negeri.
Katanya, perkara itu penting memandangkan Enakmen Pembangunan Belia Sabah sedang dirangka sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“MBS akan terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya KBSK bagi memastikan keputusan Kabinet berkenaan perkara ini direalisasikan melalui Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di DUN Sabah,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, mengumumkan keputusan Kabinet itu ketika berucap pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026.
Keputusan itu menyaksikan Sabah memilih untuk mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun dalam dasar pembangunan belia negeri, sementara peruntukan berkaitan disediakan menerusi enakmen yang sedang dirangka.
— SABAH NEWS TODAY

