Berjasa ratusan tahun sekalipun, bukan lesen rompak harta rakyat – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jasa seseorang kepada negara tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatan rasuah atau penyelewengan harta rakyat, walaupun individu terbabit telah berjasa selama ratusan tahun.

Menurutnya, sikap bertolak ansur terhadap salah laku rasuah hanya kerana mengenang jasa seseorang bertentangan dengan prinsip keadilan dan ajaran Islam.

“Tolerance for evil inilah yang merosakkan kita. Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa tempat pelaku rasuah di penjara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, budaya membiarkan salah laku secara berterusan merupakan antara punca kerosakan nilai dan integriti dalam masyarakat.

Perdana Menteri turut berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan MADANI Siri 14 yang menyentuh bahaya budaya permissiveness atau sikap terlalu berkompromi terhadap perbuatan salah.

Beliau merujuk pandangan tokoh pemikir dan bekas pemimpin Indonesia, Mohammad Natsir, mengenai kecenderungan masyarakat menerima salah laku secara beransur-ansur sehingga perbuatan yang serius dianggap perkara biasa.

“Saya selalu peringatkan apa yang pernah disebut pemimpin Indonesia, Muhammad Natsir sebagai budaya permissiveness. Semua okey. Rosak sikit, okey. Curi sikit, okey.

“Sikit berapa? Bilion, okey. Jadi, this tolerance for evil yang merosakkan kita,” katanya.

Anwar menegaskan, masyarakat yang benar-benar menolak rasuah perlu berani menyuarakan pendirian dengan lebih tegas dan tidak membiarkan sumbangan atau kedudukan seseorang dijadikan alasan untuk mempertahankan penyelewengan.

Beliau menekankan bahawa perbuatan merompak atau “menyakau” harta rakyat dan negara tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan