Tujuh warga China ditahan, resort di Semporna dikesan beroperasi tanpa lesen

SEMPORNA: Tujuh lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sebuah pusat peranginan di daerah ini, Isnin lalu.

Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penahanan itu dilakukan menerusi operasi penguatkuasaan yang turut membongkar beberapa isu berkaitan pengoperasian pusat peranginan berkenaan.

Menurutnya, seramai 14 individu diperiksa dalam operasi itu, membabitkan sembilan warga China dan lima warga tempatan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati pusat peranginan berkenaan dibina di atas tanah sewa seluas 1.78 hektar dan tidak mempunyai permohonan pekerja asing.

“Selain itu, pusat peranginan terbabit turut didapati tidak memiliki lesen pengendalian pelancongan serta lesen daripada Majlis Daerah Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tujuh lelaki warga China yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Sh Sitti Saleha mengingatkan semua pengusaha dan majikan supaya mematuhi prosedur pengambilan pekerja asing, termasuk memastikan setiap pekerja mempunyai dokumen serta kelulusan yang sah.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan imigresen, termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi pendatang tanpa izin dan JIM Sabah akan terus menggiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau saluran aduan rasmi JIM.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan