Belum sempat dibuka, bumbung pasar RM500,000 ranap

KOTA MARUDU: Projek pembinaan pasar baharu bernilai hampir RM500,000 di Goshen, di sini, mencetuskan kekecewaan dalam kalangan peniaga apabila struktur bumbungnya ranap ketika kerja pembinaan hampir siap sepenuhnya.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi ketika hujan lebat itu sekali gus menggagalkan hasrat peniaga untuk memulakan perniagaan di pasar berkenaan yang dijadualkan beroperasi pada penghujung bulan ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan memandangkan pasar tersebut masih belum dibuka kepada peniaga dan orang awam.

Difahamkan, pembinaan pasar berbumbung itu sudah mencapai kemajuan antara 80 hingga 90 peratus, manakala peniaga telah menunggu hampir dua bulan untuk menggunakan kemudahan berkenaan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap, berkata pihaknya akan menuntut penjelasan daripada kontraktor berhubung punca keruntuhan struktur tersebut.

Beliau yang turun meninjau lokasi kejadian bersama kakitangan Majlis Daerah Kota Marudu kira-kira pukul 5.30 petang menyifatkan kejadian itu amat mengecewakan, terutama apabila projek yang menggunakan peruntukan hampir setengah juta ringgit berkenaan hampir siap.

“Amat menyedihkan, bumbung pasar yang hampir siap tiba-tiba ranap.

“Kami akan meminta laporan daripada kontraktor untuk mengenal pasti punca dan penyebab kejadian sebelum mengambil tindakan memperbaiki kerosakan serta memastikan penambahbaikan yang meyakinkan,” katanya.

Pasar tersebut dibangunkan bagi menyediakan ruang perniagaan lebih teratur kepada peniaga tempatan termasuk penjual ikan, ayam, sayur-sayuran, kuih-muih, makanan panggang dan minuman.

Sementara itu, seorang peniaga sayur, Malinah Juakin, 42, berkata, keruntuhan berkenaan menambah kekecewaan peniaga yang sekian lama menantikan kemudahan perniagaan lebih selesa.

Menurutnya, mereka kini terpaksa meneruskan perniagaan menggunakan kanopi di kawasan bersebelahan walaupun berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

“Namun, kami semua tetap bersyukur kerana kejadian itu berlaku ketika kami belum mula beroperasi di bawah bumbung berkenaan,” katanya.

Kejadian itu turut menimbulkan persoalan mengenai ketahanan struktur pasar yang hampir siap berkenaan, namun punca sebenar keruntuhan masih menunggu laporan kontraktor.

Berita Berkaitan