Kakitangan JKNS maut, polis siasat kemungkinan dilanggar
PAPAR: Hasrat seorang kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) untuk ke tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8, Jalan Papar-Beaufort, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 46 tahun dipercayai menunggang motosikal dari arah Papar menuju ke Membakut sebelum terbabit dalam kemalangan.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pemeriksaan awal menemukan kesan kerosakan pada bahagian belakang motosikal mangsa, sekali gus menimbulkan kemungkinan terdapat kenderaan lain terbabit.
“Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan termasuk menentukan sama ada mangsa terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain.
“Polis kini sedang giat mengesan kenderaan yang mungkin terbabit selain mendapatkan maklumat daripada saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu membabitkan kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan sekitar jam 4.30 pagi diminta tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Heryan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, khususnya ketika memandu pada waktu malam serta awal pagi.

