Lelaki disyaki terbabit kes bunuh di Menggatal ditahan di Tawau

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh yang berlaku di Menggatal, Kota Kinabalu.

Suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi Jumaat menerusi operasi yang dijalankan sepasukan anggota Balai Polis Tawau bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan itu dilakukan hasil tindakan susulan berdasarkan maklumat yang diperoleh berkaitan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit dan beg pinggang yang turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rosdi berkata, siasatan lanjut akan diteruskan secara menyeluruh dengan meneliti setiap bahan bukti yang diperoleh bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan proses siasatan.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Katanya, kerjasama erat antara pihak polis dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan komuniti terus terjamin.

Berita Berkaitan