Jangan hanya ‘bersihkan’ Pulau Gaya, tangani isu PTI seluruh Sabah – Kanul
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) secara menyeluruh di seluruh negeri dan tidak hanya menumpukan tindakan penguatkuasaan terhadap penempatan di Pulau Gaya.
Pengerusi Gabungan Bebas Merdeka (GBM), Gundohing Dr Kanul Gindol berkata, tindakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan notis pengosongan terhadap penduduk di kawasan tertentu Pulau Gaya disifatkan wajar dan tepat pada masanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah berkenaan tidak seharusnya dilaksanakan secara terasing tanpa perancangan jangka panjang bagi menangani masalah penempatan dan status dokumentasi penduduk di seluruh Sabah.
Menurutnya, isu itu mungkin memerlukan campur tangan Kerajaan Persekutuan termasuk peruntukan mencecah berbilion ringgit bagi menyediakan penempatan baharu serta penyelesaian perumahan kepada penduduk yang terjejas akibat tindakan perobohan.
“Ini adalah inisiatif yang baik dalam memperbaiki kependudukan di Sabah.
“Seeloknya ia bukan hanya tertumpu kepada satu lokaliti Pulau Gaya kerana banyak kawasan menghadapi cabaran dan sejarah yang serupa,” katanya ketika mengulas notis pengosongan dalam tempoh 14 hari yang dikeluarkan kepada penduduk di kawasan tertentu Pulau Gaya.
Kanul berkata, isu kependudukan di Sabah semakin kompleks dan tidak hanya membabitkan penduduk berasal dari Filipina serta Indonesia, malah menurutnya turut melibatkan mereka yang datang dari India dan China.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu persidangan peringkat nasional atau antarabangsa melibatkan negara ASEAN diadakan bagi membincangkan penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.
Katanya, persidangan itu perlu disusuli beberapa siri mesyuarat dengan penyertaan semua pihak berkepentingan supaya pendekatan yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.
Dalam pada itu, Kanul mengingatkan kerajaan supaya tidak mengetepikan aspek kemanusiaan ketika merancang dan melaksanakan sebarang program pemutihan atau penguatkuasaan penempatan.
Beliau berkata, tindakan sedemikian melibatkan keseluruhan kawasan perkampungan, ratusan rumah serta ribuan penduduk yang mempunyai latar belakang dan status dokumentasi berbeza.
“Sebagai aktivis Sabah, saya hanya berharap inisiatif seperti ini benar-benar ada kejujuran dan kebijaksanaan, bukan hanya bakal mencipta masalah lain di Sabah,” katanya.
Kanul menegaskan, penyelesaian terhadap isu berkenaan perlu mengambil kira kebajikan penduduk yang memiliki dokumen sah mahupun mereka yang belum mempunyai dokumentasi lengkap.
Menurutnya, ketegasan penguatkuasaan perlu diseimbangkan dengan perancangan yang teliti supaya tindakan kerajaan tidak sekadar memindahkan masalah dari satu kawasan ke kawasan lain.

