Pesara polis maut nahas di simpang Kampung Paya

KOTA MARUDU: Seorang pesara polis maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di simpang masuk Kampung Paya, Jalan Langkon-Pitas di sini, semalam.

Mangsa berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati 4WD berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kampung Bangkau-Bangkau, Pitas menuju Kudat ketika hujan.

Katanya, kereta dipandu mangsa pula datang dari arah Pekan Kota Marudu sebelum membelok ke kanan untuk memasuki simpang Kampung Paya.

“Ketika membelok, kereta berkenaan bertembung dengan bahagian hadapan tepi pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Menurut beliau, pemandu 4WD tidak mengalami kecederaan manakala lima penumpangnya cedera ringan.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kota Marudu kira-kira pukul 2 petang sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Berkaitan