Affan gesa belia Sabah perkukuh hubungan strategik dengan Putrajaya

KUALA LUMPUR: Aktivis Pemuda Parti Wawasan Negara (Wawasan), Muhammad Affan Jumahat menggesa golongan belia dan mahasiswa Sabah memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh hubungan strategik antara Sabah dan Putrajaya demi memastikan agenda pembangunan belia terus diberi perhatian.

Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting supaya pandangan serta keperluan golongan muda dapat diterjemahkan dalam dasar serta polisi kerajaan.

Katanya, hubungan tersebut tidak boleh dilihat sebagai retorik politik semata-mata tetapi perlu dijadikan medium komunikasi yang mampu meningkatkan kefahaman belia terhadap dasar kerajaan.

“Belia dan mahasiswa perlu peka terhadap dasar-dasar kerajaan supaya mereka dapat memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan untuk pembangunan diri dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mahasiswa juga perlu memainkan peranan sebagai ejen semak dan imbang secara konstruktif selain menyumbang idea bagi memperkukuh pembangunan negeri.

Affan berpandangan pembangunan belia Sabah perlu memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan sosioekonomi selain pembangunan infrastruktur.

Menurutnya, komunikasi yang lebih kukuh antara belia Sabah dengan kepimpinan di Putrajaya mampu melahirkan generasi pemimpin yang berani, berkualiti dan mampu memperjuangkan hak Sabah dalam kerangka Persekutuan.

Beliau turut menyambut baik pelbagai inisiatif kerajaan termasuk program pembangunan usahawan yang telah memberi manfaat kepada ramai anak muda di Sabah.

Katanya, usaha meningkatkan kesedaran mengenai peluang tersebut perlu diperkasakan melalui program advokasi di peringkat akar umbi supaya tiada golongan muda tercicir daripada arus pembangunan.

Berita Berkaitan