Air banjir limpahi Jambatan Tamparuli, palang keselamatan ditutup
TAMPARULI: Pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak mengambil risiko meredah Jambatan Tamparuli selepas laluan berkenaan dilaporkan ditutup akibat limpahan air banjir, petang tadi.
Keadaan itu tular menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @macsond64, yang memuat naik gambar palang keselamatan ditutup bagi menghalang kenderaan memasuki laluan jambatan.
Berdasarkan gambar berkenaan, air sungai yang keruh kelihatan melimpahi kawasan laluan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Jambatan Tamparuli petang ini sudah ditutup kerana dilimpahi banjir. Jangan ada yang tersilap terus macam kejadian baru-baru ini.
“OK apa pun, terbaiklah penjaga gate jambatan ini,” katanya menerusi hantaran itu.
Pengguna berkenaan turut memuji tindakan penjaga palang keselamatan yang memastikan laluan ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Penutupan itu dipercayai dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan air yang melimpahi kawasan jambatan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sesekali mengingkari palang keselamatan, terutama ketika paras air meningkat dan arus sungai menjadi deras.
Pengguna jalan raya juga disaran menggunakan laluan alternatif yang selamat sementara menunggu keadaan kembali pulih.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai tempoh penutupan jambatan berkenaan.
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini keadaan banjir di sekitar Tamparuli.

