Van putih disyaki tanpa permit pelancongan kembali beroperasi di KK?
KOTA KINABALU: Aktiviti van putih yang disyaki menjalankan perkhidmatan membawa pelancong tanpa permit sah kembali menjadi perhatian selepas sebuah kenderaan dirakam di sekitar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, petang tadi.
Kehadiran van berkenaan dirakam seorang pembaca Sabah News Today (SNT) yang mendakwa kegiatan pengangkutan pelancongan tanpa permit kini semakin berani beroperasi di sekitar ibu negeri.
Menurut pembaca itu, sebelum ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerap menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap pengusaha pelancongan yang melanggar peraturan.
Bagaimanapun, katanya, operasi sedemikian kini semakin jarang kelihatan sehingga menimbulkan persoalan sama ada pemantauan terhadap kenderaan pelancongan masih dilaksanakan secara aktif.
“Dulu MOTAC kerap buat operasi, tetapi sekarang sudah jarang nampak. Kita bimbang van putih yang tidak mempunyai permit kembali mengambil kesempatan,” katanya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, sebuah van putih kelihatan berhenti di tepi jalan berhampiran Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, antara lokasi tumpuan pelancong di Sabah.
Namun, status permit van berkenaan belum dapat disahkan, termasuk sama ada kenderaan itu benar-benar digunakan untuk membawa pelancong secara komersial.
Isu pengangkutan pelancongan tanpa permit turut menimbulkan kebimbangan terhadap nasib pengusaha berlesen yang perlu menanggung kos pematuhan pelbagai syarat dan peraturan ditetapkan.
Sekiranya kegiatan itu berlaku, ia bukan sahaja boleh mewujudkan persaingan tidak adil, malah berpotensi menjejaskan keselamatan pelancong dan imej industri pelancongan negeri.
Sehubungan itu, pihak berkuasa berkaitan digesa mempergiat pemeriksaan terhadap kenderaan yang menawarkan perkhidmatan pelancongan, khususnya di kawasan tumpuan seperti Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Pemantauan berterusan penting bagi memastikan hanya pengusaha yang mempunyai kelulusan dan permit sah dibenarkan menjalankan perkhidmatan pengangkutan pelancongan.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi bahawa van yang dirakam melakukan sebarang kesalahan.

