Jangan tunggu saat akhir berpindah ketika banjir – Isnin

BEAUFORT: Penduduk di daerah ini dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa susulan risiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, langkah berjaga-jaga perlu diberi perhatian serius memandangkan Beaufort merupakan antara daerah yang sering dilanda banjir berikutan faktor kedudukan geografinya.

Menurutnya, kejadian banjir berlaku hampir setiap tahun di daerah berkenaan, manakala banjir berskala besar turut berulang dalam tempoh tertentu.

“Dalam situasi Beaufort, daerah ini memang mudah dilanda banjir. Setiap tahun ada kejadian banjir, setiap lima tahun atau 10 tahun ada banjir besar.

“Secara geografinya, Beaufort merupakan kawasan tadahan hujan dan berhampiran dengan sungai dan kawasan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Bagandang Beaufort 2026 di Dataran Bagandang, di sini, pada Sabtu.

Isnin berkata, penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai perlu sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Jadi saya nasihatkan kepada semua penduduk untuk mengambil langkah berhati-hati dan dengar arahan daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Sekiranya ada keperluan untuk berpindah, saya nasihatkan pindah dengan segera. Jangan tunggu saat akhir kerana kita semua maklum daerah ini kerap dilanda banjir terutama ketika musim MTL,” tegasnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan bertarikh 23 Oktober lalu memaklumkan MTL 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramalkan berlaku sepanjang fasa awal monsun bermula November ini hingga Januari 2027.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan keadaan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya membuat persediaan awal dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa.

Maklumat ramalan serta amaran cuaca terkini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi METMalaysia dan aplikasi myCuaca.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan