Aliakbar gesa kerajaan kaji semula Sabah Moto Day susulan rungutan rakyat
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa mengkaji semula kaedah, lokasi dan syarat penganjuran Sabah Moto Day (SMD) susulan rungutan orang ramai berkaitan kesesakan serta keselesaan pengguna jalan raya.
ADUN Karambunai Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, SMD yang kini memasuki edisi kesembilan terbukti mendapat sambutan besar, khususnya dalam kalangan anak muda yang meminati dunia permotoran.
Katanya, beliau pada prinsipnya menyokong program yang memberi ruang kepada golongan muda berkumpul, membina jaringan persahabatan dan menyalurkan minat mereka kepada aktiviti positif.
Namun, Aliakbar berkata selepas sembilan edisi, sudah tiba masanya kerajaan dan pihak berkaitan menilai aspek yang boleh diperbaiki dalam penganjuran program berkenaan.
“Saya mengambil perhatian terhadap rungutan dan aduan orang ramai, khususnya berkaitan keselesaan pengguna jalan raya, kesesakan serta kesan terhadap orang awam.
“Kita tidak mahu keceriaan anak muda menjadi keresahan kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aliakbar mencadangkan kerajaan mempertimbangkan lokasi khas yang lebih sesuai dan terkawal bagi penganjuran SMD serta program permotoran berskala besar lain.
Menurutnya, syarat penganjuran juga perlu diperkemas termasuk aspek keselamatan peserta dan orang awam, kawalan lalu lintas, parkir, laluan kecemasan serta koordinasi bersama pihak berkuasa.
Beliau turut mencadangkan minat terhadap permotoran dikembangkan kepada sukan permotoran terkawal, pendidikan keselamatan jalan raya, kemahiran automotif, keusahawanan dan pembangunan bakat.
“Kita mahu anak muda terus diberikan ruang. Kita mahu program terus meriah. Tetapi biarlah kemeriahan itu tidak dibayar dengan keresahan rakyat,” katanya.

