Lelaki maut tersepit, lapan kenderaan terbabit kemalangan di flyover Luyang
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di flyover menghala ke Luyang, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.33 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, PBK II Mohd Hanafiah Tunjol berkata, pasukan bomba tiba pada pukul 6.41 pagi dan mendapati seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Hilux.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada pukul 7.55 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

