Atlet boling muda Sabah digalak buru kejayaan lebih tinggi

KOTA KINABALU: Atlet boling muda Sabah digesa terus meningkatkan prestasi dan menjadikan kejohanan sekolah sebagai platform untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), kebangsaan dan antarabangsa.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, berkata pembangunan modal insan berkualiti perlu bermula melalui penglibatan aktif murid dalam sukan dan kokurikulum.

Beliau berkata, sukan bukan sekadar medan pertandingan, malah membentuk disiplin, perpaduan, integriti dan daya tahan dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu melihat lebih ramai atlet Sabah mengharumkan nama negeri dan negara di pentas lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) 2026 di KK Galaxy Bowl, Centre Point, pada Khamis.

Pada kejohanan itu, kontinjen Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan bagi semua kategori yang dipertandingkan.

Kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos itu menghimpunkan atlet sekolah dari 12 daerah membabitkan kategori bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun bagi lelaki dan perempuan.

Ghazali turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta menggesa peserta yang belum berjaya supaya terus berusaha kerana kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat, tetapi juga disiplin, kesungguhan dan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Berita Berkaitan