Bekas menteri direman, bantu siasatan isu pajakan hotel Tabung Haji
PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret di sini pagi ini bagi prosiding reman berkaitan siasatan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Lelaki berusia 60-an itu tiba kira-kira jam 10.25 pagi dengan memakai baju reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Semalam, individu berkenaan ditahan kira-kira jam 4.30 petang ketika memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Penahanan itu dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan isu pajakan hotel yang mempunyai kaitan dengan TH di Arab Saudi.
Laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan itu turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik serta menyebut kewujudan transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

