Maxim sertai kembara Merdeka, jelajah Sabah selama sebulan
KOTA KINABALU: Maxim Malaysia menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah dengan menjelajah beberapa daerah di negeri itu sepanjang Ogos.
Penyertaan bermula di Kota Kinabalu pada 1 Ogos sebelum diteruskan ke Penampang, Putatan, Papar, Tuaran, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, sebelum kembali ke ibu negeri pada 31 Ogos bagi acara kemuncak serta Perarakan Merdeka.

Sepanjang program itu, Maxim menyediakan sokongan mobiliti, kenderaan serta terlibat dalam aktiviti bersama masyarakat setempat.
Syarikat itu turut menawarkan kod promosi perjalanan bernilai RM50 kepada peserta KMJG.
Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata penglibatan syarikat berkenaan merupakan sebahagian usaha mendekati masyarakat dan menyokong program komuniti.
Katanya, penyertaan itu turut mencerminkan peranan syarikat swasta dalam menyokong inisiatif kebangsaan serta kemasyarakatan.
Sementara itu, Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata keluasan geografi Sabah menjadi antara cabaran utama dalam usaha mendekati masyarakat sempena Bulan Kebangsaan.
Menurutnya, kerjasama bersama Maxim membantu JAPEN Sabah menyantuni lebih ramai masyarakat di peringkat akar umbi melalui mobiliti harian kenderaan e-panggilan.
KMJG 2026 turut melibatkan program seperti Langkah Jiwa Merdeka yang membawa mesej patriotisme dan perpaduan terus kepada komuniti setempat.

