Jalan rosak lebih setahun, tayar kereta kerap pancit!
LABUAN: “Tolong kami YB, kereta saya berapa kali pancit di sini!”
Itu luahan kecewa seorang pengguna jalan raya yang mendakwa terpaksa berdepan keadaan jalan rosak dan berlubang menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Layang-Layangan, di sini, sejak lebih setahun lalu.
Menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @amirulz_bahrin, individu terbabit mendakwa masalah itu masih belum diselesaikan walaupun aduan sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan.
“Jalan ke SK Layang-Layangan Labuan ni sudah lebih setahun macam ni. Saya sudah ajukan aduan ke MP Labuan, tapi sampai sekarang tiada tindakan.
“Tolong kami YB, kereta saya berapa kali pancit di sini,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Lebih membimbangkan, gambar yang dikongsikan memperlihatkan permukaan jalan tidak rata, dipenuhi lubang serta mempunyai takungan air yang berpotensi membahayakan pengguna.
Keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pengguna laluan berkenaan, terutama ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk sekitar.
Tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, pengguna berkenaan turut menandakan akaun @fadhlinsidek_ serta @anwaribrahim_my bagi menarik perhatian pemimpin terhadap masalah yang dihadapi.
Malah, beliau turut merayu penduduk Labuan supaya membantu menyebarkan hantaran itu agar masalah berkenaan mendapat perhatian segera.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai tempoh kerosakan jalan dan aduan terdahulu belum dapat disahkan secara bebas.
Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi diperoleh daripada pihak berkuasa berkaitan mengenai keadaan jalan terbabit.
Pengguna berharap tindakan segera dapat diambil sebelum kerosakan jalan berkenaan mengundang kejadian lebih serius.
— SABAH NEWS TODAY

