Penggiat seni mahu Majlis Seni Sabah, Masiung sedia bawa ke DUN

KOTA KINABALU: Gabungan persatuan penggiat seni di Sabah berharap kerajaan negeri menubuhkan Majlis Seni Sabah sebagai badan induk bagi menaungi industri kreatif negeri, dengan cadangan itu diharap mendapat perhatian dalam Belanjawan Negeri akan datang.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) DUN Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata persatuan dan kelab penggiat seni memerlukan sebuah agensi induk bagi membolehkan kerjasama lebih tersusun dengan kerajaan negeri.

“BBC melihat industri kreatif perlu diperkasa bagi membolehkan pemain industri di Sabah mampu berdaya saing di arus perdana.

“BBC bersedia menjadi perantara berhubung hasrat beberapa persatuan dan kelab karyawan yang mahukan kerajaan Sabah mewujudkan Majlis Seni Sabah,” katanya selepas menemui wakil penggiat seni di Kota Kinabalu.

Masiung sebelum ini turut menggesa kerajaan negeri memperkukuh hubungan dengan penggiat seni dan menyifatkan mereka sebagai kelompok yang mampu menjadi rakan strategik kerajaan. 

Menurut Masiung, cadangan penubuhan majlis berkenaan akan dibawa melalui saluran DUN untuk perhatian kerajaan negeri.

Katanya, ketiadaan sebuah badan induk menyukarkan penyelarasan inisiatif, bantuan atau suntikan dana kepada persatuan dan penggiat seni.

Beliau turut berpandangan sektor kreatif Sabah selama ini kurang mendapat perhatian, termasuk dalam pembentangan belanjawan negeri, sehingga menyebabkan sebahagian karyawan merasakan kerjaya mereka terpinggir. Pandangan mengenai isu kebajikan, hak cipta dan pembiayaan ekosistem seni turut dibangkitkannya dalam kenyataan pada 18 September lalu. 

Masiung berkata penggiat filem, muzik, drama, lakonan serta komposer dan penulis lirik mempunyai pengaruh tersendiri, selain berupaya menyampaikan mesej pembangunan melalui karya kreatif.

Pertemuan itu diketuai penghibur veteran Sabah, Datuk Francis Landong dan melibatkan wakil beberapa persatuan serta kelab penggiat seni negeri.

Berita Berkaitan