Buka rekod ketika dalam kerajaan sebelum kritik Sabah, Guntur beritahu PAS

KOTA KINABALU: PAS Sabah perlu menilai rekodnya sendiri ketika berada dalam Kerajaan Persekutuan sebelum mempersoalkan prestasi kerajaan berhubung hak 40 peratus Sabah dan MA63, kata Ketua Komunikasi KEADILAN Sabah, Guntur Sangkar.

Beliau berkata politik prestasi perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan perkembangan pada 2026.

“Kalau betul mahu membandingkan prestasi, mari kita buka keseluruhan rekod,” katanya dalam kenyataan.

Guntur berkata PAS turut perlu menjelaskan pendiriannya mengenai hak 40 peratus Sabah ketika menjadi sebahagian pentadbiran Persekutuan sebelum ini.

Katanya, Pemberian Khas Sabah yang sebelum ini sekitar RM26.7 juta meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023, RM600 juta pada 2025 dan RM1.5 bilion pada tahun ini.

Beliau bagaimanapun mengakui RM1.5 bilion bukan penyelesaian akhir kepada tuntutan 40 peratus dan berkata rundingan berdasarkan Perkara 112C serta 112D perlu diteruskan.

Guntur turut berkata Sabah masih berdepan masalah air, elektrik, jalan dan internet tetapi menegaskan penilaian perlu dibuat berdasarkan jumlah pelaburan, projek serta penurunan kuasa yang sedang dilaksanakan.

Mengenai BUDI Diesel, beliau berkata KEADILAN Sabah turut mendesak kerajaan mengambil kira keadaan geografi dan kebergantungan penduduk luar bandar terhadap kenderaan pacuan empat roda.

Beliau turut meminta PAS menggunakan kayu ukur sama terhadap negeri-negeri ditadbir parti itu jika mahu menjadikan masalah air sebagai ukuran prestasi kerajaan.

“Prestasi mesti dinilai berdasarkan rekod, bukan siapa paling kuat menjerit,” katanya.

Berita Berkaitan