Sabah Electricity siap siaga hadapi penyelenggaraan SOGT
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) bersiap siaga bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah kekal stabil sepanjang kerja penyelenggaraan Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dari 22 hingga 28 Ogos 2026.
Sumber SE berkata, penutupan sementara bekalan gas di kawasan Kimanis akan dibuat bagi membolehkan Petronas menjalankan kerja penyelenggaraan.
Katanya, dua loji jana kuasa bebas (IPP) yang terlibat akan terus beroperasi dengan menggunakan bahan api alternatif diesel sepanjang tempoh itu.
SE bersama pihak berkaitan turut menyelaras operasi, mengoptimumkan sumber penjanaan dan meningkatkan pemantauan sistem bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan.
Pasukan operasi dan teknikal juga diletakkan dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku kejadian luar jangka yang menyebabkan kekangan kapasiti penjanaan.
Menurut sumber itu, sebarang kemungkinan catuan bekalan hanya akan dilakukan jika benar-benar diperlukan dan pada tempoh tertentu dengan impak seminimum mungkin.
Langkah berkenaan dianggap sebagai pilihan terakhir bagi mengelakkan ketidakstabilan sistem yang lebih besar serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan grid elektrik terus terpelihara.
Orang ramai turut digalakkan menggunakan elektrik secara berhemah, khususnya ketika waktu permintaan tinggi, serta mengikuti maklumat terkini menerusi saluran rasmi SE.

