CIS labur RM120 juta, tambah kapasiti pengeluaran simen Sabah
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) merancang pelaburan kira-kira RM120 juta bagi membangunkan barisan pengeluaran kedua di Loji Teluk Sepanggar, ketika bekalan simen beg 50 kilogram (kg) di Pantai Barat Sabah masih berdepan gangguan.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf berkata, barisan baharu itu akan menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 550,000 tan metrik setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2028.
Menurutnya, projek berkenaan sudah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah CIS, manakala firma perunding kejuruteraan turut dilantik bagi membantu pelaksanaannya.
“Barisan pengeluaran kedua ini penting bagi membolehkan CIS memenuhi peningkatan permintaan simen, selain memastikan pengeluaran dan bekalan simen beg 50kg dapat diteruskan sekiranya salah satu barisan pengeluaran mengalami gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumardi berkata, kemudahan baharu itu juga akan berfungsi sebagai barisan sokongan, selain menambah kapasiti penyimpanan bahan mentah dan memberi ruang lebih baik bagi kerja penyelenggaraan loji.
Bekalan klinker lewat
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, gangguan bekalan simen beg 50kg di Pantai Barat Sabah ketika ini berpunca daripada kelewatan penghantaran klinker, bahan mentah utama dalam pengeluaran simen.
Menurut CIS, sebuah kapal yang sudah memuatkan kira-kira 20,000 tan metrik klinker terkandas ketika melalui laluan menuju ke laut terbuka berhampiran Pelabuhan Tanjung, Kalimantan Selatan, menyebabkan penghantaran tidak dapat tiba mengikut jadual.
Sumardi berkata, penghantaran gantian dijangka tiba pada minggu kedua Oktober, sebelum pengeluaran dan bekalan simen dipulihkan secara berperingkat.
Pelaburan RM120 juta itu, katanya, adalah sebahagian langkah jangka panjang CIS untuk meningkatkan kapasiti serta daya tahan operasi, sekali gus memastikan keperluan simen bagi sektor pembinaan dan pembangunan Sabah dapat dipenuhi.

