Isi kemerdekaan dengan kesejahteraan, peluang ekonomi rakyat

KOTA KINABALU: Kemerdekaan perlu diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peningkatan kuasa beli serta peluang ekonomi yang lebih luas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, beliau berkata perjuangan generasi terdahulu membentuk Malaysia perlu diteruskan dengan memastikan pembangunan sampai kepada semua rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

Mustapha berkata peruntukan STR dan SARA yang mencecah RM15 bilion setahun, selain pembiayaan mikro RM6 bilion dan RM200 juta Geran Sejahtera MADANI, menunjukkan usaha membantu rakyat bukan sahaja menghadapi kos sara hidup, malah meningkatkan pendapatan melalui keusahawanan.

Beliau berkata perkara itu penting memandangkan median pendapatan isi rumah di Sabah dan Sarawak masih lebih rendah berbanding median nasional.

Katanya, penambahan kelayakan BUDI MADANI RON95 kepada 300 liter dan BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan juga mengambil kira realiti kehidupan rakyat di kedua-dua wilayah.

“Dasar nasional perlu mengambil kira realiti geografi dan keperluan setiap wilayah supaya bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Dalam pendidikan, Mustapha berkata perhatian khusus perlu terus diberikan kepada sekolah daif dan sekolah yang masih tercicir daripada kemudahan asas.

Beliau berkata kemerdekaan sebenar bermaksud rakyat mempunyai peluang hidup yang lebih baik tanpa dibatasi lokasi, pendapatan atau latar belakang.

Berita Berkaitan