Hujan lebat berhari-hari, jerebu masih selubungi KK

KOTA KINABALU: Keadaan berjerebu masih kelihatan di sekitar Kota Kinabalu pagi ini meskipun hujan lebat melanda sejak beberapa hari lalu.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkongsi gambar keadaan Teluk Likas yang dirakam dari Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada jam 10.25 pagi menerusi Threads. Laman rasmi kerajaan negeri masih menyenaraikan Masidi sebagai Menteri Kewangan Sabah. 

Dalam hantaran itu, Masidi berkata bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) semasa bagi Kota Kinabalu berada antara 77 hingga 96.

“Walaupun hujan lebat sejak beberapa hari lalu, keadaan jerebu di KK nampaknya masih belum bertambah baik,” katanya.

Bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala 101 hingga 200 tidak sihat. 

Sabah turut berdepan episod jerebu pada awal September apabila Jabatan Alam Sekitar Sabah memaklumkan asap daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan dipercayai dibawa angin merentasi Borneo. 

Berita Berkaitan