Individu dicekup dalam Ops Noda, disyaki berkhalwat
LABUAN: Seorang individu Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat menerusi Operasi Noda.
Operasi penguatkuasaan bersepadu itu membabitkan kira-kira 30 pegawai dan anggota JAWI Labuan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Labuan serta Jabatan Mufti.
JAWI Labuan memaklumkan, individu berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).
Operasi itu dilaksanakan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah, selain membolehkan agensi terlibat menjalankan pemeriksaan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

