Pelepasan Peter Anthony melalui PBSL ikut syarat ditetapkan

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menegaskan pelepasan bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dilaksanakan berdasarkan syarat kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan.

Menurut jabatan itu, PBSL bukan bermaksud hukuman yang dijatuhkan mahkamah dihapuskan, dipendekkan atau dikurangkan.

Sebaliknya, individu yang diberi PBSL masih menjalani baki tempoh hukuman dalam komuniti dan kekal tertakluk kepada syarat, peraturan, pengawasan serta pemantauan Jabatan Penjara.

Untuk dipertimbangkan, seseorang prospek perlu terlebih dahulu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman, namun pemenuhan syarat tersebut tidak menjamin kelulusan secara automatik.

Setiap prospek turut dinilai dari segi sahsiah, tingkah laku, tahap kepulihan, penyertaan dalam program pemulihan, sokongan keluarga, penempatan, peluang pekerjaan dan tahap kesediaan kembali ke masyarakat.

Berhubung Peter, Jabatan Penjara memaklumkan beliau dipertimbangkan selepas memenuhi tempoh kelayakan serta melalui proses tapisan dan penilaian seperti prospek lain.

Jabatan itu turut menegaskan bahawa PBSL diberikan tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status atau pengaruh seseorang.

Katanya, dakwaan bahawa pelepasan berkenaan diberikan atas layanan berbeza atau dwistandard adalah tidak tepat.

Berita Berkaitan