Inkues Zara Qairina: Empat jurnal tidak lengkap, satu kehilangan 64 helaian

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa kesemua empat jurnal yang diperiksa berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir berada dalam keadaan tidak lengkap.

Menurut laporan Bernama, pensyarah dan penyelidik sains forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa berkata, sebuah daripada jurnal berkenaan kehilangan sehingga 64 helaian.

Beliau berkata, pemeriksaan fizikal mendapati jurnal W1 kehilangan satu helaian, W2 sebanyak 43 helaian, W3 sebanyak 21 helaian manakala WK9 sebanyak 64 helaian.

Menurutnya, penemuan tersebut dibuat selepas jurnal berkenaan dibandingkan dengan jurnal baharu daripada jenis sama yang dijadikan bahan rujukan.

Wan Nur Syuhaila berkata, jurnal WK9 turut menunjukkan tanda pengubahsuaian apabila helaian kosong hadapan asal didapati dikoyakkan.

Katanya, helaian kosong belakang pula didapati telah dikoyakkan dan ditampal pada kulit hadapan jurnal berkenaan.

“Kesimpulan saya berdasarkan pemeriksaan fizikal dan rekonstruksi mendapati jurnal W1, W2, W3 dan WK9 berada dalam keadaan tidak lengkap ketika saya menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa pemeriksaan menggunakan Electrostatic Detection Apparatus (ESDA) menemukan kesan tekanan tulisan pada beberapa halaman W2 dan WK9.

Bagaimanapun, tiada halaman sepadan ditemui dalam jurnal terbabit yang dapat dipadankan dengan kesan berkenaan.

Wan Nur Syuhaila turut menjelaskan bahawa beliau tidak menentukan identiti penulis berdasarkan tulisan tangan yang ditemukan kerana analisis tulisan dilakukan oleh pemeriksa dokumen forensik lain.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025 selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya sehari sebelumnya.

Berita Berkaitan