Wanita 21 tahun berjaya dipujuk bomba, polis di Penampang
PENAMPANG: Seorang wanita berusia 21 tahun berjaya diselamatkan selepas dipujuk anggota bomba dan polis dalam kejadian cubaan bunuh diri di tingkat tiga sebuah bangunan di Donggongon, di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.33 pagi itu, wanita berkenaan ditemukan berada di tingkat tiga bangunan berhampiran sebuah kedai serbaneka 7-Eleven.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba pada jam 4.35 pagi dan mendapati terdapat seorang wanita yang dipercayai cuba membunuh diri di tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Operasi memujuk mangsa dimulakan pada jam 4.36 pagi dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Wanita terbabit akhirnya berjaya dipujuk dan berada dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Operasi berkenaan diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Calixtus Fedilis bersama lima anggota BBP Penampang.
Menurut kenyataan itu, selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan pada jam 5.55 pagi.
Wanita berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

