Jangan ambil kesempatan naikkan harga barang sempena Deepavali – YPNM
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah mengingatkan peniaga, pemborong dan peruncit supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan secara tidak munasabah sempena sambutan Deepavali.
Pengerusinya, David Chan berkata, semua pihak perlu mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 4 hingga 10 November ini.
Menurutnya, skim berkenaan melibatkan 11 jenis barangan keperluan termasuk bawang besar merah, bawang merah kecil dan bawang merah ros dari India, cili merah, daging kambing import bertulang, kacang dhal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato serta ubi kentang import dari China.
“Peniaga wajib mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal.
“Langkah ini penting bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga yang tidak munasabah, khususnya ketika membuat persiapan menyambut perayaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
David berkata, peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPDN mempergiat operasi pemeriksaan dan pemantauan di pasar awam, pasar raya, kedai runcit serta premis perniagaan, khususnya di Sabah, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan harga kawalan.
Pada masa sama, katanya, pengguna perlu memainkan peranan dengan membandingkan harga, membeli mengikut keperluan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa.
Beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga barangan keperluan memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah, warga emas serta keluarga B40 dan M40.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan dan melindungi kepentingan pengguna sepanjang musim perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, David turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali 2026 kepada masyarakat India di Malaysia dan berharap sambutan berkenaan membawa kebahagiaan, kesejahteraan serta terus memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.
— SABAH NEWS TODAY

