Jangan sekadar pantau BUDI Diesel, naikkan kuota ikut realiti Sabah
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah lebih jauh daripada sekadar memantau BUDI Diesel dengan menilai semula kuota subsidi bahan api yang diperuntukkan kepada rakyat Sabah.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata pendekatan one-size-fits-all tidak sesuai digunakan kerana corak kehidupan dan keperluan pengangkutan rakyat Sabah berbeza.
Menurutnya, jarak perjalanan yang jauh, kelemahan jaringan pengangkutan awam dan kebergantungan terhadap kenderaan sendiri terutama di pedalaman perlu diambil kira dalam menentukan kuota.
“Sabah tidak boleh dinilai dengan formula yang sama seperti negeri lain. Keperluan rakyat Sabah mesti diukur berdasarkan realiti Sabah,” katanya.
Ahmad Farid berkata pendekatan Ekonomi Berasaskan Keperluan perlu diterjemahkan dalam dasar subsidi dan bukan sekadar menjadi prinsip di atas kertas.
Dia turut mempersoalkan jurang antara kira-kira 120,000 pemilik pikap dan jip yang dikenal pasti layak memohon kuota diesel melebihi 300 liter dengan hanya sekitar 49,000 yang sudah memohon.
Menurutnya, angka itu memberi isyarat bahawa proses permohonan, syarat kelayakan dan penyampaian maklumat masih perlu diperbaiki.
Dia mencadangkan subsidi mengikuti individu yang layak berdasarkan MyKad dan lesen memandu, bukannya bergantung sepenuhnya kepada status pemilikan kenderaan.
“Subsidi bersasar tidak sepatutnya menjadi subsidi yang sukar dicapai oleh golongan yang sepatutnya menerima,” katanya.

