Juan Torres yakin Sabah mampu cabar Selangor di Likas

KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido yakin anak buahnya mampu memberikan saingan sengit kepada Selangor FC dalam aksi Piala FA di Stadium Likas, jam 7.30 malam ini.

Sabah hadir dengan keyakinan selepas mencatat dua kemenangan dalam dua perlawanan awal liga, namun Juan Torres sedar Selangor juga berada dalam momentum positif dengan rekod sama.

“Kami yakin kami boleh memberikan satu perlawanan yang baik menentang Selangor,” katanya.

Menurutnya, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, terutama dengan sokongan penyokong yang diharapkan memenuhi Stadium Likas.

“Kelebihannya adalah bermain di hadapan Likas yang penuh. Saya mahu mengajak mereka datang ke stadium untuk menyokong kami,” katanya.

Pertemuan kali ini turut mengimbau aksi dramatik kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA musim lalu apabila Sabah menyingkirkan Selangor menerusi penentuan penalti selepas agregat terikat 5-5.

Walaupun belum bersama Sabah ketika itu, Juan Torres mengakui keputusan berkenaan satu pencapaian besar dan berharap pasukannya mampu mengulangi kejayaan tersebut.

“Saya masih belum berada di sini ketika itu, tetapi itu adalah satu keputusan yang besar. Sudah tentu bagus jika kami dapat mengulanginya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan Selangor akan tampil dengan motivasi tinggi dan mengakui pasukan lawan lebih menjadi pilihan di atas kertas.

“Kami menjangkakan berdepan pasukan yang sangat bagus dan bermotivasi tinggi. Saya pasti mereka juga menyasarkan untuk mara ke final Piala FA dan di atas kertas mereka jelas pilihan berbanding kami.

“Tetapi kita akan lihat apa yang berlaku di atas padang,” katanya.

Mengenai sasaran Sabah untuk mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA musim lalu, Juan Torres memilih untuk lebih realistik kerana skuadnya masih dalam proses pembentukan.

Katanya, Sabah mempunyai pasukan yang hampir baharu dengan ramai pemain masih menyesuaikan diri, justeru fokus ketika ini adalah memperbaiki prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Itu bukan sasaran yang realistik pada ketika ini. Kami mempunyai pasukan yang hampir baharu dan perlu bergerak langkah demi langkah.

“Prestasi dan keputusan kami selepas beberapa perlawanan akan menunjukkan di mana sebenarnya tahap kami. Kami masih dalam fasa peralihan dan ramai pemain baharu masih menyesuaikan diri,” katanya.

Juan Torres sekali lagi mengharapkan sokongan penyokong Sabah ketika berdepan Selangor dan percaya kehadiran mereka di Stadium Likas mampu memberikan dorongan penting kepada pasukan.

“Kami perlukan penyokong datang ke stadium jika kami mahu berkembang lebih cepat dan mempunyai peluang untuk menghadapi cabaran seperti ini,” katanya.

Pertembungan malam ini dijangka menjadi ujian penting buat Sabah untuk mengukur kemampuan skuad baharu mereka berdepan salah satu pasukan yang turut memulakan musim dengan baik.

Berita Berkaitan