KEADILAN Sabah buat laporan polis isu ucapan Noorazli

KOTA KINABALU: KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada PAU 2026 yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Kristian.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Peto Galim berkata tindakan undang-undang wajar diambil sekiranya siasatan pihak berkuasa mendapati berlaku kesalahan.

“Agama bukan bahan jenaka politik. Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama tidak boleh diperjudikan hanya kerana mahu mendapatkan sorakan atau laba politik sementara,” katanya.

Peto berkata pihaknya mengecam bahagian ucapan yang didakwa menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan Bible.

Katanya, pemimpin perlu memahami kesan sesuatu ucapan sebelum mengeluarkannya dan bukan hanya memberikan penjelasan atau memohon maaf selepas menerima kecaman.

“Bukan sudah terhantuk baru tengadah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.

Beliau berkata KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya.

Berita Berkaitan