Noorazli sudah mohon maaf, tapi ucapan tetap guris penganut Kristian, kata Arthur

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata permohonan maaf Datuk Noorazli Said tidak mengubah hakikat bahawa ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 telah menyinggung perasaan masyarakat Kristian.

Arthur berkata ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang itu, khususnya yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan Bible, tidak wajar serta keterlaluan.

“Politik ada batas. Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Arthur, perbezaan politik tidak memberi lesen kepada mana-mana pemimpin untuk menjadikan agama atau kepercayaan pihak lain sebagai bahan gurauan demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan.

Beliau berkata alasan bahawa sesuatu ucapan itu sekadar “gurauan” juga tidak boleh digunakan untuk mengetepikan kesan yang ditimbulkan terhadap sensitiviti penganut agama lain.

Arthur turut mengingatkan pemimpin politik supaya berhati-hati dalam isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja kerana perkara itu boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Katanya, meskipun Noorazli sudah memohon maaf, perkara seumpama itu tidak seharusnya berulang, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Sabah.

“Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat,” katanya.

Berita Berkaitan