Kes pukul tular di Inanam: Polis tahan seorang suspek, buru individu lain
KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pemuda dipukul menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada malam Sabtu lalu.
Suspek ditahan di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam Isnin, susulan siasatan terhadap kejadian yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Menurutnya, polis sebelum itu menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang Ahad.
“Kejadian berlaku pada malam 10 Oktober lalu membabitkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai dipukul menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shahrudin berkata, pihaknya masih meneruskan usaha mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terbabit dalam perlakuan jenayah itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrudin mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian terbabit.
Beliau berkata, penyebaran komen berunsur provokasi di media sosial boleh menjejaskan siasatan polis selain mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai diminta memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai dipukul dan ditendang sekumpulan individu di kawasan KK Taipan, Inanam, tular di media sosial.
Polis turut menggesa individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.

