Wanita ditahan bantu siasat penipuan jualan emas di Instagram

BEAUFORT: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan jualan emas tidak wujud menerusi platform Instagram dalam Ops Kesan Khas 1/2026 di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, suspek dipercayai pemilik akaun bank yang digunakan dalam transaksi berkaitan kes penipuan berkenaan.

Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati wanita itu mengaku pernah menyerahkan kad ATM berserta kata laluan kepada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ahcai’.

Suspek mendakwa kad dan maklumat berkenaan diberikan kepada lelaki itu atas alasan untuk urusan kelulusan pinjaman.

Bagaimanapun, wanita terbabit kemudian menyedari akaun bank miliknya telah disekat dan mendakwa tidak mengetahui akaun itu digunakan bagi tujuan penipuan.

Champin berkata, suspek ditahan menerusi Ops Kesan Khas 1/2026 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyerahkan kad ATM, kata laluan atau membenarkan akaun bank digunakan individu lain.

Tindakan berkenaan, katanya, boleh menyebabkan akaun pemilik disalahgunakan sebagai medium jenayah penipuan dalam talian.

Berita Berkaitan