Kopi premium Ranau mampu cecah RM260 sekilogram, buka peluang ekonomi baharu

RANAU: Industri kopi tanah tinggi Sabah berpotensi muncul sebagai komoditi pertanian bernilai tinggi apabila kopi premium atau specialty coffee keluaran Ranau mampu mencapai nilai pasaran sehingga RM260 sekilogram.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Highest Altitude Coffee Plantation 2026 menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kopi tempatan yang lebih berdaya saing.

Menurutnya, biji kopi gred tinggi yang dihasilkan di Ranau berpotensi dijual pada harga RM50 hingga RM65 bagi setiap pek seberat 250 gram, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha tempatan meningkatkan pendapatan melalui pengeluaran produk bernilai tambah.

“Ini bermakna nilai borong kopi specialty sedia panggang tanah tinggi kita boleh mencecah sehingga RM260 untuk setiap satu kilogram.

“Kita tidak mahu kejayaan ini berhenti setakat rekod sahaja. Hasrat saya adalah melihat komuniti Ranau di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sabah mampu melonjakkan kapasiti pengeluaran biji kopi specialty ini bagi menampung permintaan pasaran borong berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Malaysia Book of Records Highest Altitude Coffee Plantation 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama, di sini, pada Khamis.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, pengusaha kopi tempatan perlu beralih daripada pertanian tradisional kepada pendekatan berorientasikan perniagaan, termasuk membangunkan jenama, meningkatkan pengeluaran dan menguasai rantaian bekalan.

“Kita mahu mengubah persepsi lama daripada ‘saya hanya petani kampung’ kepada satu keyakinan baharu iaitu ‘saya adalah pemilik rantaian bekalan untuk jenama kopi specialty masa hadapan’,” katanya.

Dalam usaha mempelbagaikan sumber ekonomi masyarakat setempat, beliau turut mencadangkan pembangunan Coffee Trail Ranau sebagai produk pelancongan tani yang menggabungkan pengalaman penanaman, pemprosesan dan keunikan kopi tanah tinggi.

Menurutnya, inisiatif itu berpotensi mewujudkan peluang perniagaan kepada komuniti setempat, selain menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Beliau berharap pengiktirafan MBOR berkenaan dapat dimanfaatkan sebagai asas memperkukuh kedudukan Ranau bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan utama Sabah, malah sebagai pusat pengeluaran kopi premium negara.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan