Wanita GRS santuni sembilan penerima bantuan di Sepanggar, Tuaran

KOTA KINABALU: Unit Kebajikan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan usaha membantu golongan memerlukan menerusi program lawatan kebajikan dan penyampaian sumbangan kepada sembilan penerima di sekitar Parlimen Sepanggar dan Tuaran, semalam.

Program yang diketuai Pengerusi Unit Kebajikan Wanita GRS, Datin Mary Wong itu membabitkan warga emas, pesakit buah pinggang kronik, strok, masalah salur darah serta seorang bayi yang memerlukan rawatan susulan berkaitan masalah mata akibat kelahiran pramatang.

Sebahagian penerima turut berdepan cabaran kesihatan yang memerlukan rawatan berterusan, termasuk menjalani dialisis sehingga tiga kali seminggu.

Mary berkata, program berkenaan bukan sekadar bertujuan menyampaikan sumbangan, malah memberi peluang kepada pihaknya memahami sendiri kesulitan dihadapi pesakit dan keluarga.

“Bagi mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan dan kesulitan hidup, kehadiran insan yang mengambil berat serta sudi menghulurkan bantuan pasti membawa makna tersendiri,” katanya.

Menurutnya, lawatan itu juga membolehkan pihaknya mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang boleh diusahakan melalui saluran berkaitan bagi meringankan beban penerima.

Beliau berkata, usaha mendekati masyarakat khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan kebajikan akan terus menjadi antara keutamaan unit berkenaan.

Berita Berkaitan