KUSKOP terus perkasa koperasi melalui Jualan MADANI 2026
TAWAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan inisiatif membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menerusi Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026 yang dilaksanakan dengan penglibatan koperasi sebagai operator jualan.
Program yang diadakan di Perkarangan Pasar Mingguan Sabindo itu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.

Menurut kementerian, program berkenaan bertujuan memastikan rakyat memperoleh barangan keperluan harian pada harga lebih mampu milik, selain memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi komuniti.
Sejak dilaksanakan pada 2019 dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), JMK turut membantu koperasi memperluaskan pasaran, meningkatkan aktiviti perniagaan dan menjana pendapatan.

Pada 2025, program itu merekodkan kehadiran 235,195 pengunjung dengan hasil jualan melebihi RM8 juta, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam membantu rakyat serta memperkukuh sektor koperasi negara.

