Lapan ditahan, 650 karton arak tidak bercukai dirampas
BEAUFORT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai dalam satu operasi khas yang dijalankan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, operasi itu dilaksanakan oleh Wildlife Bureau Crime/Perisikan Siasatan Khas JKDNKA Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort.
Menurutnya, hasil risikan membawa kepada penahanan lapan individu selain rampasan 650 karton minuman keras pelbagai jenis dan tiga lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM785,263.50.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan menerusi alur sungai muara serta kawasan tepi pantai sekitar Menumbok dan Kuala Penyu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Champin berkata, IPD Beaufort akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penyeludupan barangan kontraban.
Katanya, bagi tempoh 2025 hingga September 2026, sebanyak 16 kes direkodkan melibatkan 22 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM1.43 juta.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan bagi mengekang ketirisan hasil negara serta menjaga keselamatan perairan dan sempadan negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan diseru menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau melalui saluran rasmi PDRM.

