Anwar tiba di Sabah, lawatan dua hari termasuk mesyuarat MA63
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Sabah hari ini bagi lawatan dua hari dengan beberapa program rasmi dijadualkan, termasuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026, esok.
Menurut Bernama, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 6.45 petang sebelum dijadual menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat MA63 di Magellan Sutera Harbour.
Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud; serta Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Esok, Anwar dijadual mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada sebelah pagi.
Mesyuarat itu dijangka turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hajiji, dengan tumpuan kepada perkembangan pelaksanaan perkara berkaitan MA63 serta isu melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak.
Selepas mesyuarat, Perdana Menteri dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas sebelum melawat pusat pemindahan sementara mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Damai.
Kebakaran pada 30 Ogos lalu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air dan mengorbankan tiga mangsa.

