Motosikal terseret, terbakar… penunggang maut
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta sebelum terseret dan terbakar dalam kemalangan di Jalan Kota Kinabalu–Papar, Kilometer 17, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun mengalami kecederaan parah selepas tercampak ke atas jalan akibat rempuhan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret beberapa meter sebelum terbakar, manakala mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Arisanti berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video di lokasi kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

