Mustapha mahu jawatankuasa khas kaji tambah kerusi Sabah, Sarawak
KOTA KINABALU: Sebuah jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi memperincikan cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, termasuk menetapkan garis masa pelaksanaannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) itu dicadang melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) serta kerajaan negeri.
Mustapha berkata perbincangan awal BHESS dengan SPR sudah diadakan, namun masih pada peringkat mendapatkan gambaran mengenai kaedah dan kajian yang diperlukan.
Katanya, penambahan kerusi di Sabah dan Sarawak perlu mengambil kira sebarang pertambahan kerusi di Semenanjung supaya nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dapat ditentukan dengan jelas.
Pada 22 Sept, Mustapha berkata Sabah dan Sarawak ketika ini mempunyai 56 kerusi, bersamaan 25.3% daripada keseluruhan Dewan Rakyat, manakala cadangan dibincangkan adalah meningkatkan perwakilan kedua-dua wilayah kepada 35%.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan bersetuju pada prinsipnya meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak daripada kadar semasa, dengan butiran dan mekanisme perlu diperhalusi bersama SPR serta pihak berkaitan.
Mustapha berkata peningkatan perwakilan itu bertujuan memastikan suara Sabah dan Sarawak dapat dibawa dalam proses menentukan dasar penting negara.

